Penerjun Sabah, Gabriel Gilbert Daim, meneruskan rentak terjunan cemerlang apabila meraih emas berganda dalam Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila mengungguli acara 3 meter papan anjal individu lelaki hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil itu, penerjun berusia 21 tahun berkenaan berhasil mengutip 390.30 mata menerusi terjunan cemerlang untuk menduduki tempat pertama.

Pingat perak menjadi milik Bertrand Rhodic dari Sarawak yang memperoleh 353.95 mata sementara pingat gangsa pula dirangkul Hanis Nazirul Jaya Surya, yang mewakili Wilayah Persekutuan, dengan meraih 348.60 mata.

“Sejujurnya ada juga rasa (Sukma kali ini) saingan sikit tapi saya cuma lakukan yang terbaik saja dalam terjunan tadi untuk diri sendiri.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keenam-enam terjunan yang dilakukan, terutama sebab ini Sukma terakhir saya, saya seronok sebab dapat (yang dihajatkan).

“Ada juga beberapa terjunan yang macam ada kesilapan tadi, tapi saya rasa okay saja. Masa itu, mungkin saya rasa gemuruh sebab saya belum mahir lagi untuk buat yang terbaik. Lagipun semasa beraksi, ada macam-macam perasaan kan,” katanya.

Kredit: Sinar Harian