Barisan pemain skuad bola sepak alam maya Terengganu membawa bekalan semangat juang tinggi ke Kuala Lumpur demi aspirasi menuai kilauan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) MSN yang bermula Jumaat depan.

Buat julung kalinya e-sukan dipertandingan dalam temasya ini dan seramai 16 atlet dari kontinjen Terengganu akan beradu tenaga menggondol 5 pingat emas yang dipertandingkan daripada judul permainan Dota Two, Mobile Legends dan Pro Evolution Soccer (PES) secara konsol mahupun telefon bimbit.

Pasukan Pantai Timur itu menyasarkan tiga pingat emas daripada lima yang ditawarkan dalam edisi ke-20 ini memandangkan sudah membuat persiapan sejak 2019 lagi.


"Kami telah melantik tiga jurulatih bagi persiapan menghadapi ketiga-tiga kategori.

"Dengan bantuan kerajaan kami dapat menyediakan tempat latihan -- antaranya pusat latihan daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Malaysia melalui Majlis Sukan Negara (MSN).




"Terengganu menyasarkan tiga emas dan satu bonus daripada permainan telefon bimbit," kata pengurus e-sukan Sukma Terengganu, Syed Afif Hakmi Tengku Abdillah.

Mereka berkesempatan mengukur keupayaan menerusi beberapa kejohanan simulasi sambil menyifatkan Kuala Lumpur dan Johor sebagai antara pencabar utama dalam temasya itu.

"Dalam beberapa pertandingan simulasi, kami kerap berjumpa pemain Johor dan Kedah di peringkat separuh akhir dan final dalam kategori PES," katanya.