Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias, mengakui badan berkenaan mengambil alih sepenuhnya tugas penganjuran saingan angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di ibu negara demi kelangsungan sukan itu.

Ia susulan tindakan drastik Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menarik diri daripada temasya berkenaan gara-gara terdapat tiga kes positif penggunaan terlarang dalam sukan itu.

Bagi Suhardi, MSN memegang tanggungjawab dalam memastikan setiap atlet muda dapat bertanding sambil mengekalkan peranan Sukma sebagai wadah untuk mencungkil bakat baru negara.

"Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia Ke-20 telah membuat keputusan bahawa pertandingan dalam Sukma perlu diteruskan memandangkan setiap negeri sudah melaksanakan program latihan mereka," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kami berasakan bahawa ia adalah tanggungjawab kami untuk memastikan kesemua atlet-atlet muda ini diberikan peluang."