Atlet olahraga Sarawak, Mohd Rizzua Haizad, mengakui kurang berpuas hati dengan lariannya meskipun memperoleh emas acara 110 meter berpagar dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Rekod 10 tahun kejohanan, 14.10 saat, yang dilakukan Rayzamshah Wan Sofian menjadi buruan Rizzua selain mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Mempunyai permulaan baik, dia bagaimanapun tidak mendapat momentum yang diharapkan tetapi masih mampu menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 14.25s.

Pingat perak milik Benedick Ian Gawok dari Sabah yang mencatat 14.46s manakala peserta tuan rumah, Muhd Naim Abdullah, memperoleh gangsa.

"Berdasarkan persiapan, saya telah memberikan yang terbaik dalam sesi latihan. Tetapi ketika sesi pemanas badan, saya agak gelisah tetapi bersyukur dengan kemenangan ini," kata Rizzua.

"Saya tidak berpuas hati dengan catatan masa ini kerana gagal memperbaharui rekod Sukma."

Acara 100m berpagar perempuan pula menyakskian kecemerlangan atlet Perak, Juriani Mat Rodzi, meraih pingat emas.

Ternyata kepantasan Juriani sukar ditandingi peserta yang lain selepas dia mencatat 14.64s selaku juara, kurang 0.5s berbanding rekod kejohanan 14.15s yang dilakukan Moh Siew Wei, 20 tahun lalu.

Atlet Pahang, Nur Atikah Azman, meraih pingat perak manakala Karmentia Nadia Quadra melengkapkan kedudukan podium.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana ini merupakan emas pertama yang berjaya saya menangi dan terima kasih juga kepada keluarga yang datang memberikan sokongan," kata Juriani.