Penguasaan atlet kebangsaan terserlah pada hari terakhir acara kumite individu dalam saingan karate Sukan Malaysia (Sukma) dengan M. Arvindran serta Pressy Misty Philip antara yang cemerlang meraih pingat emas buat negeri masing-masing.

Arvindran yang mewakili Perak turun berdepan Arthuric Gideon Jiwin dari Sabah bagi kategori bawah 84kg.

Arthuric, yang bergelut dengan kecederaan kaki kiri, nyata tidak dapat memberikan saingan kepada Arvindran lalu menyaksikan wakil tuan rumah itu menang kerana lawannya menarik diri ketika aksi berbaki 35 saat untuk ditamatkan.

"Saya akui mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri serta memenangi emas untuk Perak.

"Saya menyasarkan satu lagi emas esok," kata Arvindran.

Sementara itu, seorang lagi atlet kebangsaan, Pressy, turut meraih emas dalam penampilan pertamanya di pentas Sukma bagi kategori wanita bawah 68kg.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu tidak berdepan kesukaran apabila menewaskan atlet Negeri Sembilan, Nevita Nevon, 8-0.

"Saya sangat gembira kerana telah memberi tumpuan pada tahun ini untuk memenangi emas dalam Sukma.

"Saya akan berehat terlebih dahulu sebelum menyambung sesi latihan kerana sedang menanggung kecederaan ketika ini," kata Pressy.

Keputusan lain menyaksikan atlet Selangor, S. Khavinraj, mencatat kemenangan 7-0 ke atas K. Kesvan Nair dari Negeri Sembilan bagi kategori lelaki bawah 55kg.

Dalam perkembangan lain, Gwendolly Gimus dari Sabah gagal mempertahankan emas kategori wanita bawah 55kg apabila kecudang kepada atlet Wilayah Persekutuan, G. Dharishini, menerusi keputusan juri.

Turut cemerlang, A. Somanroy yang mewakili Negeri Sembilan selepas dia mencatat kemenangan 5-2 dengan mengatasi atlet Wilayah Persekutuan, T. Preeyaraj, dalam saingan lelaki bawah 84kg.