S. Prem Kumar menyalahkan dirinya sendiri sebagai punca skuad karate negara gagal mempertahankan pingat emas acara kumite berpasukan lelaki dalam Sukan SEA kemboja di Changvar Convention Centre, Phnom Penh hari ini.

Pemenang pingat emas acara kumite individu B-55kg lelaki itu menjadi tumpuan selepas aksi final itu menyaksikan skuad negara terikat 2-2 dengan Vietnam.

Bagaimanapun, dia kehilangan fokus pada tujuh saat terakhir dan terlepas mata kemenangan buat Malaysia.

Disebabkan itu, Prem Kumar mengambil tanggungjawab 100 peratus terhadap kegagalan itu.

"Saya hanya fikir mahu menang sahaja, saya tidak dapat tahan perasaan ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Kerana saya pasukan ini kalah. Sehingga kini saya tidak dapat rasa apa-apa. Saya tidak dapat rasa saya pemenang emas kerana disebabkan saya pasukan kami kalah."

Ketika Prem Kumar meratapi rasa bersalah yang menebal itu, kapten skuad negara, R. Sharmendran, segera tampil mempertahankan rakan sepasukannya itu.

Tindakan Sharmendran itu memperlihatkan kematangannya sebagai ketua pasukan dan keadaan itu membuatkan Prem Kumar berasa sebak dan gagal membendung tangisannya di depan layar lensa Astro Arena.

"Adalah normal untuk menang dan kalah, adakalanya ia berlaku," kata Sharmendran.

"Menang dan kalah adalah satu proses, dia telah memberikan segala-galanya.

"Jika anda lihat dari hari pertama lagi, dia kalah dalam Sukan SEA lalu dan bangkit untuk menang kali ini, ia bukan senang.

"Dia menjalani pembedahan tangan sebelum ini dan sebulan lalu, dia langsung tidak boleh menumbuk dalam latihan.

"Kami sudah hampir mendapatkannya (pingat emas) cuma sedikit kesilapan kecil sahaja.

"Kami akan bangkit. Nantikan kami, kami akan bangkit," katanya.

Sebagai rekod, skuad karate negara memenangi acara kumite berpasukan lelaki dalam edisi di Vietnam tahun lalu tetapi mereka sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat pingat emas dalam edisi kali ini.