Dua atlet wushu negara, Tan Zhi Yan dan Clement Ting, tidak sangka dapat menyumbangkan pingat emas menerusi penampilan pertama mereka dalam Sukan SEA Hanoi hari ini.

Zhi Yan menewaskan peserta lain dengan mencatat 9.71 mata bagi acara Taijiquan manakala Clement pula cemerlang dalam acara Changquan selepas mengumpulkan 9.70 mata.

Sebelum ke Vietnam, skuad wusyu tidak meletakkan harapan tinggi biarpun sentiasa menjadi lubuk pingat dalam lapan edisi Sukan SEA lalu apabila hanya menyasarkan dua kilauan pingat.

Bagaimanapun, mereka mengekalkan reputasi baik dengan kilauan dua emas berkenaan selain satu pingat perak daripada seorang lagi muka baru, Calvin Lee, dalam acara Nandao.

Zhi Yan, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, berkata: "Saya amat teruja kerana dapat meraih pingat emas. Saya juga mahu berterima kasih kepada persatuan, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), semua jurulatih saya dan juga buat semua penyokong saya.



"Sebelum ini, jurulatih saya mendapatkan pingat emas dalam edisi lalu tetapi saya pada awalnya tidak pasti sama ada akan dapat pingat emas ini atau tidak.

"Saya hanya melakukan yang terbaik dengan rutin yang saya lakukan," katanya.

Clement dalam pada itu berkata: "Saya amat gembira dan terkejut kerana saya tidak meletakkan sasaran pingat buat acara Changquan ini.

"Saya amat teruja ketika melakukan persembahan dan hanya melakukan rutin normal seperti waktu latihan," katanya.