Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, mengakui berpuas hati dengan senarai pemilihan 36 atlet yang akan beraksi dalam Sukan SEA Hanoi 2022.

Meskipun sebelum ini timbul isu melibatkan pemilihan atlet olahraga tetapi dia menegaskan senarai yang dipilih adalah yang terbaik.

Tegas Manshahar, sasaran lima pingat emas yang diletakkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) adalah realisitik dan mampu dicapai.

Skuad olahraga kebangsaan akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura dijadualkan pada hujung minggu ini sebagai persiapan terakhir sebelum bertolak ke Vietnam untuk temasya bermula 12 hingga 23 Mei depan.

"Secara keseluruhannya kami berpuas hati berhubung pemilihan atlet berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

"Kami ada jawatankuasa pemilihan dan saya sendiri salah seorang daripadanya. Kami berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

"Sasaran lima pingat emas sesuatu yang realistik berdasarkan pencapaian semasa atlet masa ini.

"Ia sasaran yang baik dan kalau ada rezeki, ada tambahan pingat lagi," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.