Legenda snuker Thailand, James Wattana, memuji Lim Kok Leong selepas menewaskan wakil negara itu dalam final acara perseorangan lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Gimnasium Ha Dong hari ini.

Bekas pemain nombor tiga dunia itu menewaskan Kok Leong 4-2 dalam aksi final untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, atlet profesional berusia 52 tahun itu memuji aksi cemerlang yang dipamerkan Kok Leong dan seorang lagi wakil negara, Moh Keen Ho, yang turut disingkirkannya.

Dia berkata kepada Nadi Arena: "Pemain Malaysia yang menentang saya dalam final, juga Moh Keen Ho, saya tahu kedua-dua mereka merupakan pemain yang hebat.

"Saya mengenali mereka. Mereka mampu bermain lebih baik daripada itu.

"Tetapi adakalanya meja (snuker) tidak membantu anda.

"Anda seorang manusia biasa, anda tidak boleh bermain baik setiap masa.

"Tetapi wakil negara anda itu, saya melihat permainannya.

"Dia juga memenangi emas acara 6-red, dia bermain dengan amat baik," katanya.

Dalam pada itu, Kok Leong mengakui nasib tidak menyebelahinya dalam aksi final kali ini.

"Sedih juga, semua yang diharapkan tetapi tiada nasib buat saya.

"Saya bermain dengan tidak bagus hari ini. Saya sendiri bermain dengan tidak bagus," katanya.

Sebagai rekod, skuad snuker negara menamatkan kempen kali ini dengan satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Emas dan gangsa itu, masing-masing disumbangkan oleh Kok Leong dan Keen Hoo dalam acara 6-red sebelum Kok Leong menambah satu perak dalam acara perseorangan hari ini.