Final acara renang 4x100m gaya bebas berganti-ganti Sukan SEA Hanoi 2021 mencetuskan kontroversi apabila kuartet negara dan Singapura, yang masing-masing sepatutnya memenangi pingat perak dan emas, dibatalkan penyertaan sebentar tadi.

Kuartet Singapura, yang dibarisi Joseph Schooling, Quah Zheng Wen, Jonathan Tan dan Mikkel Lee, pada awalnya kelihatan akan mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka di Filipina pada 2019 apabila mencatatkan masa 3:17:19s di Stadium Sukan Air My Dinh.

Malaysia pula, yang membariskan Welson Sim, Lim Yin Chuen, Khiew Hoe Yean dan Bryan Leong, menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 3:20.13s.

Bagaimanapun, menurut sumber tidak rasmi, terdapat perenang daripada dua negara berkenaan terjun ke dalam kolam terlalu awal sehingga kedua-dua pasukan itu dibatalkan penyertaan.

Disebabkan pembatalan itu, kuartet tuan rumah, Vietnam (3:21.81s), dinaikkan sebagai pemenang pingat emas dan Indonesia (3:24.09s) pula memenangi pingat perak sambil Thailand (3:24.28s) memenangi gangsa.