Atlet Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Raqib, mendedahkan bahawa dia beraksi dalam final kategori lelaki elit bawah 54kg Sukan SEA Hanoi 2021 hari ini dengan tulang rusuk yang masih retak.

Biarpun pihak perubatan menyarankannya untuk tidak menyertai penampilan pertamanya dalam temasya itu, atlet berusia 18 tahun berkenaan cemerlang memenangi pingat emas selepas menewaskan wakil tuan rumah, Huynh Hoang Phi, 30-27 dalam final.

Juara remaja dunia 2021 itu muncul penyumbang pingat emas terakhir kontinjen negara menjelang majlis penutupan esok, di mana Malaysia menamatkan kempen dengan 39 emas.

Ahmad Nor Iman, ketika ditemu bual Nadi Arena, berkata: "Agak susah sikit berlawan dengan tuan rumah tetapi saya gembira mendapatkan pingat emas.

"Saya datang ke sini memang untuk menyasarkan pingat emas.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua yang menyokong saya, jurulatih, rakan-rakan dan semuanya.

"Ada retak di bahagian rusuk saya, ia baru hilang (sakit) dalam seminggu ini tetapi ia tidak hilang sepenuhnya, masih rasa sakit.

"Doktor tak bagi saya main tetapi saya tetap nak lawan juga kerana saya mahukan pingat emas.

"Saya yakin saya mampu menang," katanya.