Atlet Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi 2021 di Gimnasium Vinh Phuc hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu memenangi pingat emas dalam penampilan pertamanya selepas menewaskan wakil tuan rumah, Huynh Hoang Phi, dalam kategori lelaki elit bawah 54kg.

Juara remaja dunia 2021 itu mempamerkan aksi bertenaga dan memanfaatkan ketinggiannya untuk mencatatkan kemenangan 30-27 dalam aksi final, sekali gus membutirkan pingat emas ke-39 buat kontinjen negara.

Sebagai rekod, kontinjen negara hanya menyasarkan 36 pingat emas dalam edisi kali ini dan pingat emas terbaru yang dimenangi Ahmad Nor Iman itu menyaksikan Malaysia terus melangkaui sasaran berkenaan.