Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sedang mempertimbangkan untuk meyenaraikan pelumba berbasikal trek, Nurul Izzah Izzati Asri, ke dalam Program Road to Gold (RTG) Fast Track.

Ini selepas pelumba wanita negara itu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan dengan meraih tangga kelapan acara Keirin dan layak ke pusingan kedua acara pecut dalam Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada pada Selasa lalu.

Hannah turut menegaskan program itu akan mengetengahkan atlet berusia 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk menyumbangkan pingat emas dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan KBS bersedia membantu memenuhi segala sokongan yang diperlukan.

"Untuk Fast Track, semua atlet skuasy dan empat penerjun," katanya kepada Astro Arena.

"MSN (Majlis Sukan Negara) ketika ini sedang berbincang dengan kesemua mereka untuk melihat keperluan dan latihan.

"MSN sedang berbincang dengan persatuan sukan yang terlibat dan merancang berapa banyak yang mereka perlukan.

"Ia akan diumumkan apabila kami mendapat maklumat itu daripada atlet dan persatuan sukan.

"Kami akan memastikan mereka memiliki potensi mendapatkan emas dalam Sukan Olimpik 2028 untuk diberikan sokongan.

"Saya secara peribadi berpuas hati dengan perkembangan Nurul Izzah dan saya rasa apabila kita memberikan mereka sokongan yang mencukupi, mereka boleh terus bersinar," katanya.