Sasaran pingat emas Sukan Komanwel Birmingham ke atas gandingan S Sivasanggari dan Rachel Arnold adalah relevan berdasarkan kepada prestasi semasa mereka.

Timbalan chief-de-mission (CDM) merangkap Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro, berkata prestasi meraih tempat ketiga Kejohanan Beregu Skuasy Dunia di Glasgow apabila disingkir peserta England, April lalu, menjadi kayu pengukur menjelang Sukan Komanwel yang bermula 29 Julai depan.

"Kami harap kali ini mereka mampu mengubah nasib," katanya ketika ditemui ketika membuat lawatan pertamanya sebagai timbalan CDM di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Malah, Sivasangari mahupun Rachel selaku pemenang dua emas Sukan SEA 2019 tidak berasa tertekan sekalipun menyedari akan menggalas harapan emas kontinjen negara.

Temasya Birmingham 2022 dianggap paling sesuai untuk mereka menyerlah memandangkan skuasy sering dibayangi kelibat Datuk Nicol David.

"Kami saling berkomunikasi dengan baik, kami menamatkan Kejohanan Beregu Dunia tahun ini di tempat ketiga.

"Kejayaan itu menyuntik keyakinan kami. Ada beberapa minggu lagi untuk kami memperkemaskan permainan dan kami berharap dapat meraih medal," kata pemenang dua emas Sukan SEA 2017 tersebut pula.



Dalam masa sama, atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh, ditimpa kecederaan ketika sesi latihan.

Bagaimanapun, dia menyifatkannya sebagai kecederaan ringan dan tidak ganggu persiapannya ke Sukan Komanwel apabila perlu berehat tiga hari dan seminggu lagi untuk tujuan pemulihan.

"Saya mahu ke final dan selepas itu barulah mengintai medal," kata pemenang dua emas Sukan SEA 2021 berkenaan.