Bekas jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen, berpuas hati dengan prestasi Malaysia dalam Piala Dunia di India kali ini meskipun menamatkan cabaran di tempat ke-13.

Baginya, kedudukan Malaysia tidak mencerminkan prestasi sebenar kerana format yang digunakan dalam edisi kali ini.

Van Huizen juga beranggapan pasukan ini harus dikekalkan dengan penambahan beberapa pemain yang boleh memantapkan lagi skuad bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou, September depan, yang menawarkan tiket secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya harap tiada tonggak yang bersara apatah lagi menjelang Sukan Asia.




"Adalah penting dua pemain daripada skuad Piala Dunia iaitu Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kembali memperkuatkan pasukan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Van Huizen juga beranggapan beberapa aspek permainan boleh lagi diperbaiki oleh The Speedy Tigers dalam masa lapan bulan, terutama daripada segi serangan dan penyudah untuk menghasilkan gol.

Van Huizen berasa pelantikan bekas ketua pasukan, S. Kuhan, mampu menambah kepakaran pukulan sudut penalti Malaysia bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou, September depan.

"Saya tidak pasti adakah ada pemain lain yang berkemampuan mengambil peranan mereka.

"Tapi saya pasti skuad ini diadun dengan baik menerusi kombinasi pemain berpengalaman dan muda yang cukup tenaga," katanya.