Pengumuman pelantikan S. Kuhan sebagai jurulatih pakar sudut penalti disambut baik bekas kapten kebangsaan, Azlan Misron.

Bagaimanapun, Azlan mengakui teknik pukulan sudut penalti sekarang dan dulu berbeza, lantas berharap keserasian dapat dicapai antara Kuhan dan tonggak negara ketika ini, Razie Rahim, dalam merealisasikan impian ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Malaysia dihampakan untuk kelayakan automatik dalam temasya edisi lalu selepas disekat Jepun dalam perlawanan akhir Sukan Asia Indonesia, 2018.

"Ia mungkin menimbulkan pendapat berbeza dalam kalangan pemain kerana cara mereka tidak sama.

"Kalau nak ubah (pendekatan pukulan sudut penalti) mungkin tidak banyak, sekitar 5-10 peratus sahaja dalam masa yang singkat," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.