Legenda hoki negara, S. Kuhan, bakal memainkan peranan selaku jurulatih pakar sudut penalti kebangsaan.

Kuhan merupakan seorang pakar dalam situasi itu sepanjang mewakili Malaysia selama 11 tahun dari 1996 hingga 2007.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan tersebut juga pernah beraksi dalam dua Sukan Olimpik iaitu di Atlanta dan Sydney.

Perkara itu diumumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, dalam sidang media Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM, Bukit Jalil, hari ini.

"Sebagai bekas pemain, dia menyahut seruan untuk negara.




"Dia akan menyertai barisan skuad negara di bawah Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Najmi Razak untuk bekerjasama dengan barisan pakar.

"Kemudian mereka akan kembali (menyalurkan maklumat kepada) KHM dan mereka akan tiba seawal bulan depan.

"Mereka juga bakal membantu pasukan remaja negara," katanya.

Selain itu, KHM berhasrat mengambil seorang lagi pakar sudut penalti dari luar negara untuk bekerjasama dengan Kuhan bagi memantapkan aspek penting dalam perlawanan.

"Kuhan mungkin tidak akan terbabit dalam pukulan sudut penalti pasukan (senior) ketika ini, tapi dia mempunyai rangkaian luas dengan pemain yang pernah mengecapi kejayaan besar seperti Piala Dunia.

"Mereka mungkin boleh berkongsi maklumat untuk membantu kami menghadapi situasi ini.

"Jadi kami sudah mula menghubungi mereka," katanya lagi.

Dalam mesyuarat yang sama, ahli lembaga eksekutif dengan sebulat suara menerima peletakan jawatan Timbalan Presiden, Profesor Datuk Dr Shamala Subramaniam, atas faktor kesihatan setelah berkhidmat lebih 24 tahun.

Subahan juga mengesahkan bahawa kontrak Ketua Eksekutif, Norfaraha Hashim, yang tamat pada 31 Disember lalu dan tidak akan disambung.