Juara dunia wusyu, Wong Weng Son, terpaksa akur dua acara kegemarannya, jiansu dan qiangshu, tiada dalam acara Sukan Asia 2018 dan secara tidak langsung terpaksa bersaing merebut slot bagi acara changquan -- saingan tanpa senjata -- yang bukan acara kegemarannya.

Ia bukan kelebihan Weng Son sepertimana ketangkasannya dalam mempersembahkan gerak langkah jianshu dan qianshu yang mengangkat namanya selaku juara dunia di Russia, Oktober lalu.

Sungguhpun tiada acara kegemarannya dalam kempen di Jakarta pada Ogos nanti, Weng Son tetap akan mempertaruhkan kemahiran yang dimiliki bagi memastikan namanya mampu menembusi empat slot peserta lelaki.

"Saya akan memberi fokus kepada acara changquan tetapi rakan sepasukan saya yang lain pasti akan mempunyai kelebihan," katanya.

Weng Son memiliki alasan tersendiri mengapa dia tetap mahu bersaing untuk memastikan slot ke Sukan Asia walaupun acara kegemarannya tidak dipertandingkan.

Ini kerana sepanjang pembabitannya selama lapan tahun dalam sukan wusyu, ini merupakan peluang pertamanya untuk membuat kemunculan dalam Sukan Asia.

Sebagai atlet bertaraf dunia, sudah tentu dia tidak mahu terlepas peluang beraksi di peringkat tertinggi Asia itu.

"Kalau boleh, saya ingin mewakili negara dalam Sukan Asia. Tetapi, jikalau jurulatih berasakan saya tidak mampu menggalas cabaran dalam Sukan Asia, saya perlu menghormati keputusannya," kata Weng Soon lagi.