Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia Hangzhou: Kerap tukar jurulatih punca Bunga Raya gagal ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azwan-zuwairi-ragbi.jpg
Kapten skuad ragbi 7's negara, Azwan Zuwairi Mat Zizi, mengakui kegagalan pasukannya mencapai sasaran empat pasukan terbaik Sukan Asia Hangzhou adalah disebabkan jurulatih yang kerap bertukar ganti.

Bukan memberikan alasan tetapi Azwan Zuwairi berasakan situasi itu merencatkan persiapan skuad negara bagi temasya kali ini.

Bunga Raya gagal ke separuh akhir selepas tewas 5-26 kepada pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, di Padang Universiti Changqian hari ini.

Sebagai rekod, skuad negara menamatkan kempen dalam edisi Jakarta-Palembang pada 2018 di tempat kelima.

"Kalau kita lihat kembali persiapan pasukan ini, ia agak kucar-kacir sedikit setelah dua kali pertukaran jurulatih pada awal dan pertengahan tahun ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Jadi, persiapannya kurang rapi, terganggu dan tidak cukup. Kami tiada pendedahan perlawanan di luar negara.

"Kami perlu mencari perlawanan dengan intensiti yang sama dengan Sukan Asia dan barulah kami boleh bersaing dengan pasukan yang ada dalam temasya ini.

"Kami sudah terlepas kelompok empat terbaik tetapi kami perlu berpijak di bumi yang nyata.

"Kami akan cuba untuk mendapatkan tempat kelima dalam separuh akhir plate nanti," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video