Pasukan SSTMI Thunderbolts menepati ramalan apabila menundukkan MBPJ Tigers dalam saingan suku akhir hoki Piala Remaja TNB 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

SSTMI Thunderbolts turun sebagai penyandang juara Piala Remaja TNB edisi musim lalu, ditambah mereka baru sahaja dinobatkan sebagai juara liga divisyen satu musim ini.

Jentera serangan SSTMI ternyata berbisa apabila sudah mula meledak sejak minit pertama menerusi pukulan sudut penalti yang diambil Muhammad Arif Syafie Ishak.

Mohd Akhimullah Annuar Esook kemudian menggandakan jaringan buat SSTMI pada minit ketujuh.

Memasuki suku kedua, SSTMI terus di depan dengan menambah dua lagi gol, masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Shahrin Izzudin pada minit ke-26 dan Muhammad Amirul Hamizan empat minit kemudian.

MBPJ cuba memberikan tentangan, namun penyudah yang lemah menggagalkan usaha mereka itu.

Menuju minit akhir permainan, Muhammad Arif Syafie Ishak menambah gol kelima untuk SSTMI menerusi pukulan sudut penalti dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

"Jaringan dalam suku pertama mencetus semangat pasukan untuk menampilkan aksi cemerlang," kata jurulatih SSTMI, Wan Roslan Wan Abd Rahman.

"MPBJ telah cuba mempamerkan aksi cemerlang tetapi selepas lawan meraih gol, ia sedikit-sebanyak menggugat semangat kami," kapten MPBJ, Muhd Zafriafiq Nurazlan.