Berbaki tujuh hari sebelum saingan Sooka Netball Super League (NSL) bermula, Pahang Tulips yakin mampu memperbaiki kedudukan berbanding musim lalu.

Status underdogs bukan halangan Tulips tampil garang kali ini, apatah lagi dengan mempertaruhkan pemain utama yang kembali menyertai pasukan.

Musim lalu, Tulips menamatkan saingan di tempat kedudukan ketujuh dari lapan pasukan yang bertanding.

Dan episod duka itu memberi lebih risiko buat mereka menerusi format baru musim ini yang menyingkirkan dua pasukan terbawah.

Menerusi perkongsian kapten pasukan, Aimie Shyzleen Che Suhaimi, antara senjata utama Tulips adalah bahagian serangan yang lebih ampuh, diperkuatkan penjaring negara, Norashikin Kamalzaman yang tidak berpeluang menyertai edisi sulung.

"Tahun lalu kami tanpa khidmat Norashikin dan kehadirannya kali ini akan meningkatkan mutu permainan pasukan sekaligus memburu kemenangan," katanya.