Melaka Mystic mahu menebus kehampaan menjadi pasukan tercorot Sooka Netball Super League (NSL) musim lalu menjelang aksi pertama musim 2022 pada 3 Jun ini.

Format baru musim ini menyaksikan dua pasukan tercorot akan tersingkir daripada liga berkenaan dan atas faktor itu, Mystic menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen di tempat keenam daripada lapan pasukan bertanding.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, kapten Mystic, Siti Wahida Hamid, berkata: "Saya rasa kami mempunyai pasukan yang lebih baik tahun ini, kami tidak akan memberikan kemenangan mudah buat pasukan lain.

"Kemenangan adalah bonus buat kami dan kalau boleh, kami mahu menang.

"Kami mahu berada di kedudukan enam teratas. Saya menjangkakan kami mampu untuk mengatasi pasukan Perak (Phoenix), Kedah (Sunshine), Pahang (Tulip) dan Negeri Sembilan (Venom)," katanya.