Skuad polo air negara terus gagal mencari kemenangan pertama selepas tewas 7-14 kepada Indonesia dalam pusingan round robin di Pusat Akuatik New Clark City hari ini.

Sejak suku pertama, Indonesia merupakan pasukan yang lebih baik apabila menghasilkan empat jaringan sebelum menambah tiga lagi dalam suku berikutnya.

Malaysia merapatkan kedudukan menerusi Toh Yi Xiang dan Bryan Wong sebelum menambah tiga gol dalam suku ketiga hasil sentuhan ketua pasukan, Tan Yi Xun (2), dan Yi Xiang.

Bagaimanapun, Indonesia menjarakkan kedudukan kepada 9-5 sebelum suku itu berakhir.

Dalam suku terakhir, Indonesia menambah lima gol lagi untuk menamatkan cabaran dengan kemenangan 14-7, yang menyaksikan Malaysia tewas ketiga-tiga perlawanan pertama.

"Kesemua perlawanan amat sukar," kata ketua jurulatih skuad negara, Voon Yong Hui.

"Indonesia menewaskan Singapura semalam, jadi mereka memang pasukan yang amat kuat.

"Tetapi pemain kami telah menunjukkan peningkatan hari ini," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia tewas 19-5 kepada Thailand dan 17-15 kepada Singapura dalam dua perlawanan pertama.