MALAYSIA 0 KOREA SELATAN 3

Skuad hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk muncul di pentas Sukan Olimpik buat kali pertama apabila peluang ke edisi 2020 di Tokyo tertutup selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam separuh akhir Kejohanan Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara, awal pagi tadi.


Kekalahan yang sudah diduga itu menyebabkan skuad bimbingan Muhamad Dhaarma Raj Abdullah itu gagal meraih dua slot untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Oktober dan November depan.

Susulan kekalahan itu, skuad Malaysian Tigress akan bertemu dengan Republik Czech dalam perlawanan penentuan tempat ketiga (malam ini), disusuli aksi tuan rumah, Ireland, menentang Korea Selatan di pentas final.

Sebelum itu, Ireland mengalahkan Republik Czech 4-0 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Korea Selatan, yang di ranking ke-11 dunia, memulakan jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Cho Hyein, diikuti Kim Hyunji pada minit ke-17 sebelum Cheon Eunbi menutup tirai jaringan dengan gol padang pada minit ke-48.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan dalam temasya Moscow 1980.

-- BERNAMA

Kredit imej: International Hockey Federation (FIH)