Pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir, terkejut tetapi akur selepas mendapati namanya tercicir dalam skuad kebangsaan.

Pesilat berusia 32 tahun itu ditimpa kecederaan dalam usahanya untuk menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA 2019 apabila tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan, dalam separuh akhir Kelas Putra B.

Dia terbaring kesakitan hampir lima minit susulan asakan dari lawannya itu sebelum mendapat perhatian pasukan perubatan.

"Pada mulanya saya ada masalah ingatan akibat gegaran di otak. Sampai saya tidak ingat di mana saya meletakkan kunci.

"Selepas pulih, kami ada membuat ujian dengan doktor dan laporan mengatakan saya masih boleh aktif dan saya masih mampu menyertai pertandingan selama dua ke tiga tahun lagi," katanya.





Faizul kemudiannya diangkat sebagai wira berikutan ketabahan dan kecekalannya demi mengharumkan nama negara.

Namun, situasi itu seakan bertukar tatkala dia kian pulih daripada kecederaan yang dialami.

"Sesudah mendapat nasihat doktor dan Majlis Sukan Negara (MSN), pihak persatuan yang akan tentukan kedudukan saya.

"Jadi saya terpaksa menerima berita pengguguran saya dengan hati yang terbuka.

"Cuma saya tidak diterangkan puncanya selain ketiadaan sesi pemilihan untuk skuad kebangsaan.

"Saya perlu merangka persediaan demi masa depan kerana saya tidak akan selamanya akan bergelar atlet."