Lebih satu abad lamanya, sukan pelayaran dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, sudah pasti sukan tersebut mempunyai cabaran tersendiri.

12 minggu menjelang acara pembukaan sukan pelayaran, pelayar berstatus olimpian negara, Nur Shazrin Mohd Latif merungkai cabaran sebenar yang menantinya di Tokyo.

Shazrin menempah slot ke Tokyo dalam acara laser radial selepas meraih pingat gangsa Sukan Asia 2018.

Giat menjalani latihan sejak itu, atlet kelahiran Pahang itu menitikberatkan beberapa aspek dengan harapan untuk tidak mengulangi kesilapan dalam Olimpik Rio yang lalu.

Atas nasihat jurulatih, Mohd Hafizi Roslee, Shazrin mula menaikkan berat badannya kepada 70 kilogram bagi tujuan untuk tidak terkesan dengan angin kencang.

Enoshima Yacht Harbor dipilih menjadi venue sukan pelayaran dengan barisan kejurulatih negara menganggarkan kelajuan angin sehingga 30 knot.

"Di Jepun, ombak yang tinggi merupakan perkara yang biasa dan ketika kami menjalani pertandingan ujian di sana, kami sudah menantikan cabaran yang besar di sana nanti," kata Shazrin.

Shazrin yang mesra disapa 'eyin' di kalangan skuad negara, merungkai tiga elemen penting yang bakal menentukan nasib seseorang atlet ketika kejohanan, ianya melibatkan faktor cuaca, ombak dan graviti.

Atas faktor itu, Shazrin bakal ke Belanda untuk menyertai Kejohanan Allianz Regatta dari 2 hingga 13 Jun depan sebelum membawa harapan untuk menyinar di lautan Tokyo.

"Pelayaran sukar dijangka dan kami harus sentiasa menyesuaikan diri, walaupun mendahului saingan namun apabila berlakunya pertukaran pergerakan angin, pesaing lain mampu mengejar dan memintas."