Shalin Zulkifli mendedahkan dia perlu bergerak seiring dengan arus semasa untuk berada di tahap tinggi pada usia 39 tahun untuk menjuarai Kejohanan Boling Tenpin Dunia buat kali ketiga dalam kariernya.

Dalam aksi di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) itu, skuad wanita negara yang turut ditunjangi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan mengulangi pencapaian 2003 dan 2007 dengan menundukkan musuh ketat, Singapura, dalam aksi final menerusi 214-209 dan 188-177 jatuhan pin.

Shalin mengalami proses turun naik dalam kerjayanya termasuk berehat selama setahun selepas Sukan Asia 2011 atas komitmen keluarga serta pembedahan kaki, dua tahun lalu.

"Ia pengalaman yang berbeza, saya sangat bertuah berpeluang menjuarai Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali dan dalam setiap edisi, kami mempunyai pemain-pemain muda yang matang.

"Setiap kali kami menang, ia mempunyai keistimewaan tersendiri dan sentiasa ada kelainan berlaku.

"Sukan boling sentiasa ada pembaharuan. Oleh itu, kami perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Keadaan lorong juga berbeza-beza, ada yang berminyak atau tidak. Jadi, kami perlu sentiasa mencuba sesuatu yang baru seperti teknik balingan.

"Saya memulakan karier dalam era yang berlainan. Teknik, era dan alatannya pun berbeza. Kadang-kadang ia mengambil masa yang lama untuk menyerlah dalam kejohanan tertinggi," katanya.

Begitupun, Shalin mengakui berbanding Kejohanan Dunia, tekanan untuk menghadirkan kejayaan dalam temasya KL2017 adalah lebih tinggi.

"Tekanan itu memang ada. Tetapi, tekanan dalam Kejohanan Dunia lebih kurang berbanding Sukan SEA kerana persekitarannya berbeza sebab kami nak menang di tempat sendiri.

"Di Las Vegas, kami lebih tenang dalam aksi final kerana lebih tertekan dalam aksi separuh akhir kerana kami hanya menang ke atas Colombia dengan satu jatuhan pin."

Menurutnya lagi, antara faktor kejayaan skuad wanita negara selepas 10 tahun adalah kematangan pemain selepas diberi pendedahan lebih luas menerusi program yang dijalankan seperti Program Podium.