Bekas pelumba motosikal negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, menyifatkan kesukaran buat mana-mana pelumba negara dalam saingan MotoGP untuk mendapatkan kedudukan podium
biarpun buat pertama kalinya, Malaysia bakal mempunyai wakil dalam setiap kategori.


Shahrol Yuzy berkata demikian agar peminat tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, terutama keada Hafizh Syahrin Abdullah, yang baru beralih arah kepada kelas MotoGP manakala pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, bergelut sepanjang musim lalu sementara Zulfahmi Khairuddin memerlukan rentak selepas dua tahun meninggalkan MotoGP.

Shahrol Yuzy juga berharap wakil tunggal dalam Moto3, Adam Norrodin, mampu memenuhi potensinya selepas meraih pengalaman dua musim.

"Malaysia masih lagi baru dalam saingan permotoran tertinggi ini," katanya. "Saya melihat terdapat kesukaran yang bakal dihadapi untuk mencipta kejayaan."

Bagaimanapun, Shahrol Yuzy menyifatkan pembabitan empat pelumba negara dalam saingan MotoGP ini meletakkan masa depan sukan permotoran negara berada di atas landasan yang
betul.

"Di rantau Asia Tenggara, hanya Malaysia memiliki pelumba dalam kesemua kategori ini. Ia merupakan satu pencapaian buat negara kita," ujarnya.