Kapten Felda United, Hadin Azman, mempamer magis untuk menyingkirkan naib juara musim lalu, Selangor, menerusi kemenangan 2-1 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor turun selaku pasukan pilihan berdepan The Fighters walaupun kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super, Februari lalu.

Ini berdasarkan prestasi meningkat naik The Red Giants dengan rekod lima perlawanan tanpa kalah tatkala skuad Felda dibelenggu aksi tidak konsisten.

Selepas pelawat hampir meraih gol menerusi Jasazrin Jamaludin pada minit ke-11, tuan rumah mencipta peluang pada minit ke-31 tetapi percubaan susulan Halim Saari tidak menepati sasaran.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai 10 minit selepas rehat apabila kealpaan benteng pelawat dimanfaatkan Syahmi Safari untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Bagaimanapun, kelebihan Selangor bersifat sementara apabila Thiago Junior Aquino berjaya menanduk masuk bola lontaran ke dalam Anwar Ibrahim untuk menjadikan perlawanan kembali seimbang.

Ketika aksi seakan-akan berlarutan ke masa tambahan, Hadin mencetus sensasi apabila melakukan larian solo dari tengah padang melepasi tiga pemain pertahanan sebelum menyumbat gol kemenangan pasukannya pada minit ke-88.

Gol lewat permainan itu ternyata menyukarkan tuan rumah untuk bangkit dan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memastikan kemaraan Felda ke suku akhir.

"Selangor main macam budak tadika. Saya telah memberitahu Felda akan melancarkan serangan balas menerusi Hadin," kata pengendali Selangor, B. Sathianathan.

"Setiap individu dalam Felda telah berusaha keras bagi memastikan kemenangan ini," kata jurulatih Felda, Nidzam Jamil.