Bekas pelumba basikal profesional negara, Edwin Ng, berasa simpati akan nasib menimpa bapanya yang juga merupakan lagenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, selepas terpalit dengan tuduhan rasis terhadap pelumba Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), sejak minggu lalu.

Sebagai seorang anak, maruah keluarganya umpama dipermainkan dan menguris hatinya dengan kemelut yang berlaku namun untuk kebaikan semua pihak dia berharap agar persengketaan itu perlu dinoktahkan segera.

Dia juga beranggapan bahawa orang luar tiada hak untuk menentukan masa depan ayahnya untuk bersara mahupun terlalu berusia kerana ia merupakan keputusan persatuan KLCA untuk menentukan nasib bapanya itu.

"Saya berasa sangat sedih dengan tuduhan itu dan kasihan bapa saya.

"Perkara ini merugikan masa dan perjuangan dia selama ini dalam melahirkan pelumba basikal. Ini kerana banyak kejayaan yang telah dia buktikan.

"Dia lakukan bukan kerana wang, saya sebagai anak berasa kasihan tetapi selagi dia mampu melatih tidak menjadi masalah. Saya ingin meredakan perkara ini secepat mungkin.

"Sebagai jurulatih sama ada dia berusia mahupun ingin bersara bukan hak sesiapa. Biarkan persatuan KLCA yang tentukan nasib dia dan bukannya orang luar." katanya.