Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh, bersedia untuk mengetepikan keputusan kempen Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula pada Mei depan selepas pengendali berusia 62 tahun ini lebih rela memberi pendedahan buat kelompok pemain muda meraih penggalaman di dalam perlawanan yang berkualiti.

Walaupun The Speedy Tigers merupakan juara bertahan dalam saingan itu sebelum ini, namun Sarjit berasakan bahawa selagi pemain tidak melalui aksi yang kompetitif maka keputusan yang positif sukar untuk dilakar.

Pasukan negara bakal membuka tirai kejohanan tersebut berdepan Pakistan dan Kanada pada Mei depan.

"Saya berharap agar pemain dapat melakukan yang terbaik nanti dan saya yakin mereka akan melakar keputusan yang positif.

"Kita juga perlu memberikan pendedahan kepada pemain dalam kejohanan pertama mereka. Sikap pemain ketika ini sangat baik dan komited, harap nanti mereka dapat bertahan dengan baik dan menjaringkan gol.

"Kami akan bermain dalam enam perlawanan yang berkualiti, mereka masih muda dan mungkin akan mengambil masa untuk mereka menguasai kawalan bola dengan baik. Selain Pakistan, kita juga mempunyai pemain yang berkualiti dalam situasi satu lawan satu." katanya.