Bintang NBA wanita (WNBA), Brittney Griner, didapati bersalah memiliki dan penyeludupan dadah dengan niat jenayah dan dijatuhi hukuman sembilan tahun di penjara Russia, awal pagi tadi.

Hakim, Anna Sotnikova, segera mencapai keputusannya termasuk denda 1 juta Rubel (RM73.961) apabila menolak permohonan maaf dan rayuan Griner untuk diberi kelonggaran kerana membawa kurang daripada satu gram minyak kanabis ke negara itu, lebih lima bulan lalu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menggelar hukuman itu lansung tidak boleh diterima.

Walaupun perang di Ukraine terus menimbulkan ketegangan di antara Kerajaan AS dan Moscow, Jabatan Negara AS dijangka melakukan rundingan menerusi pertukaran tahanan dengan Russia, dan sabitan itu diperlukan sebelum proses mengatur pertukaran boleh dimulakan.

Pemain All-Star lapan kali bersama Phoenix Mercury itu dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah NBA wanita.

Griner yang berusia 31 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo Moscow pada 17 Februari lalu kerana membawa kartrij vape yang mengandungi minyak kanabis di dalam bagasinya ketika kembali melawat Russia memandangkan pernah beraksi di sana pada 2014 ketika di luar musim NBA.

Pada 7 Julai lalu, peguamnya berhujah bahawa Griner menggunakan ganja untuk tujuan perubatan bagi merawat kesakitan kronik yang dialami sepanjang kerjayanya.

Pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu berkata dia secara tidak sengaja telah membungkus kartrij tersebut selain tidak menyedari minyak ganja diharamkan di Russia.