Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, perlu mencari pengganti Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan mereka tidak mendapat pelepasan menyertai Festival Hoki Antarabangsa Melbourne yang akan bermula 23 November ini.

Ini kerana Razie dan Nabil masih menjalani kursus latihan asas inspektor polis.

Mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyertai kejohanan di luar negara -- situasi berbeza ketika membantu Malaysia meraih tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, dua minggu lalu.

Sehubungan itu, KHM akur dengan keputusan PDRM.

"Buat masa ini, mereka tidak diberi pelepasan untuk ke Melbourne tapi mereka masih mengikuti kem latihan skuad kebangsaan.

"Kami sudah sedia maklum mengenai situasi ini untuk menghadapi pertandingan di Melbourne nanti," kata Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Logan Raj.

Penampilan di Kuantan tidak begitu menyerlah buat Razie yang hanya mampu meledak satu gol.

Kebiasaannya, pertahanan itu akan muncul penjaring terbanyak skuad kebangsaan dalam mana-mana kejohanan.

Bagaimanapun, PDRM memberi kelonggaran untuk mereka menyertai sesi latihan kebangsaan.

Tambah Logan, "Kejohanan empat penjuru ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan kami.

"Kami akan menghadapi kejohanan ini secara serius. Kami menganggap ia sebagai kompenen penting untuk kami menghadapi pusingan kedua dan ketiga Liga Dunia kelak."

Stephen juga dijangka hilang khidmat beberapa pemain seperti Mohd Marhan Abd Jalil dan Izad Hakimi Jamaluddin ekoran kecederaan sementara Fitri Saari serta Faiz Helmi Jali terikat dengan pengajian di universiti.