Pasukan Blue Warriors menjuarai Piala Vivian May Soars apabila menang dalam penentuan pukulan penalti setelah mereka terikat seri 2-2 dalam masa penuh perlawanan ketika menentang PKS Uniten-KPT di Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Seperti dijangka, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit untuk memburu gol pendahuluan. Apapun, PKS Uniten-KPT berada di depan 1-0 menerusi penyudah Raja Norsharina Raja Shabuddin hasil pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.

Kedudukan 1-0 memihak PKS Uniten-KPT itu kekal hingga separuh masa pertama tamat.

PKS Uniten-KPT semakin selesa apabila mereka memperoleh satu lagi gol pada penghujung suku ketiga perlawanan hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Fatin Shafika Mohd Shukri pada minit ke-44 untuk pasukan itu selesa 2-0 di depan.

Dalam suku terakhir perlawanan, Blue Warriors terus menggandakan usaha mereka untuk mencari gol sulung dan usaha mereka berhasil pada minit ke-56 menerusi gol padang Ritu Rani.

Gol itu nyata memberikan semangat kepada Blue Warriors untuk terus menggasak sehingga minit akhir perlawanan.

Ketika perlawanan dilihat memihak PKS Uniten-KPT, Blue Warriors memperoleh gol penyamaan 2-2 melalui Siti Zulaikha Hussain pada minit ke-59 untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Kemuncak 'shoot-out' itu menjadi milik Blue Warriors dengan keputusan 3-1.

Gol kemenangan penentuan pukulan mereka dijaringkan oleh Narinder Kaur, Ritu Rani dan Nadia Abdul Rahman sementara gol tunggal PKS Uniten-KPT dijaringkan Wan Norfaiezah Md Saiuti.

Jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin, menyimpulkan: “Saya bersyukur kerana sudah tiga tahun berturut-turut berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Vivian May Soars. Saya sudah beritahu kepada pemain bahawa saya hanya memberikan perancangan selaku jurulatih tetapi yang menentukan keputusan ialah pemain yang beraksi di atas padang.

"Saya bercakap kepada mereka, kita perlu menekan pada suku akhir perlawanan setelah pada awalnya tidak menjadi. Pemain lawan sudah nampak lemah dan Alhamdulilah kami berjaya mendapatkan gol.

"Apabila pergi ke penalti shoot-out, saya memiliki penjaga gol hoki wanita terbaik Asia. Saya berbangga dengan pemain saya atas semangat yang mereka tunjukkan tadi."

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat petang tadi, juara bertahan, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), mengubati luka gagal ke final dengan mencatatkan kemenangan 10-0 ke atas KL Wipers.

TLHT memperoleh empat gol pada separuh masa pertama menerusi pukulan su dut penalti Siti Rahmah Othman pada minit ketiga dan gol kedua hadir melalui jaringan padang Fazillah Sylvester Silin dua minit kemudian.

Dua lagi gol TLHT disumbangkan oleh gol padang menerusi Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail (m-21) dan gol keempat dijaringkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani melalui penalti stroke (m-30) untuk menamatkan separuh masa pertama dengan TLHT di depan 4-0.

Dalam separuh masa kedua, TLHT memperoleh enam lagi gol.

Ia masing-masing disumbangkan oleh Norazlin Sumantri menerusi dua pukulan sudut penalti (m-33, 34), gol padang Pahila Judith Larissa (m-50), pukulan sudut penalti Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail (m-58), gol padang Nur Syuhada Suhaimi (m-59) dan gol padang Nur Syafiqah Mohd Zain (m-60).

Keputusan Piala Vivian May Soars 2018:

Final:
PKS Uniten-KPT 2-2 Blue Warriors (Blue Warriors menang penentuan penalti 3-1)

Penentuan tempat ke-3:
KL Wipers 0-10 Terengganu Ladies Hockey Team

Pemain Terbaik Perlawanan:
Fatin Shafika Mohd Shukri