Di sebalik misi Malaysia berakhir di tangan India di peringkat suku akhir Piala Thomas, jurulatih kepada Lee Zii Jia iaitu Indra Wijaya berpuas hati dengan prestasi anak didiknya itu sepanjang kempen.

Zii Jia mempamerkan aksi tekal yang membanggakan selain merakamkan kemenangan dalam setiap perlawanan dengan keputusan straight set.

Reaksi Indra itu berasaskan prestasi terkini juara Asia 2022 tersebut yang mengalahkan pemain seperti Kento Momota dan Lakshya Sen.

"Dia mampu beraksi mengatasi semua kesulitan dan sentiasa menyumbangkan mata buat Malaysia.

"Dari awal lagi saya sudah berpesan tentang soal kestabilan permainannya dan ia bertambah baik sejak dia menyertai Terbuka Jerman hingga Piala Thomas.

"Saya boleh cakap dia cukup tekal dan itu yang kami mahu jaga," kata Indra.





Sebelum ini, prestasi pemain di ranking keenam dunia itu sering dipersoalkan hingga dilabel beberapa pihak seperti "yo-yo" apabila berjaya mengalahkan pihak lawan yang hebat tetapi boleh dijinakkan oleh pihak lawan yang mudah.

Begitupun, bermula pada tahun ini Zii Jia mula mempamerkan aksi yang lebih stabil dan ia membina keyakinannya bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang seperti Terbuka Thailand, Selasa ini.

"Semua aspek perlu diperhatikan.

"Dalam latihan kami setiap hari ini, kami persiapkannya tentang corak persembahannya.

"Kami akan buat persiapan menghadapi kejohanan berturut-turut," katanya.