Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, memberi bayangan sudah ada 18 pemain dalam fikirannya untuk disenaraikan skuad Speedy Tigers bagi menggalas cabaran dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) awal bulan depan.

Katanya, barisan kejurulatihan akan memuktamadkan senarai itu selepas aksi persahabatan menentang New Zealand pada 1 Mei ini.

“Kami sudah ada pemain yang kami inginkan. Seramai 18 ke 22 pemain. Kami akan muktamadkan pemain yang tersenarai selepas perlawanan dengan New Zealand nanti,” katanya.

Mengulas mengenai empat pemain senior, Sarjit enggan terburu-buru dan dilihat lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Empat pemain senior belum disahkan lagi akan tersenarai dalam senarai terakhir 18 pemain. Kami kena tunggu dan lihat mereka berlatih serta menunjukkan permainan yang baik dalam perlawanan persahabatan nanti,” tambahnya.

Empat pemain senior itu ialah penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, 32, pemain pertahanan, Muhammad Marhan Jalil, 34, dan pemain tengah, Mohd Fitri Saari, 31, serta penyerang, Faizal Saari, 33.

Malaysia, yang berada di ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali, Pakistan, pada 4 Mei ini, diikuti aksi berdepan Kanada (5 Mei), juara dua kali, New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali, Korea Selatan (10 Mei).

--Sinar Harian