Pengurus Skuad Hoki Negara, Datuk Mirnawan Nawawi, memandang skuad hoki negara ketika ini sedang melalui fasa peralihan pembentukan dan berasakan kem negara masih belum cukup ampuh untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah edisi 2024 yang akan membuka tirainya pada 4 Mei nanti.

Dia yang merupakan pengurus pasukan ketika The Speedy Tigers menjulang kejuaraan tersebut menewaskan pasukan Korea Selatan dalam edisi terdahulu dan berharap pengaruh pemain senior mengetuai cabaran itu pada musim ini.

Dia tidak berniat untuk memperkecilkan kemampuan skuad negara sebaliknya bersifat lebih realistik dengan meramalkan New Zealand sebagai pilihan utama yang mampu menjadi juara.

"Bagi saya untuk keluar sebagai juara dengan wajah baru adalah jangkaan yang terlalu tinggi dan saya meletakkan pasukan New Zealand sebagai pasukan kegemaran memandangkan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi.

"Yang ingin saya lihat adalah kombinasi para pemain senior seperti Marhan Jalil, Faizal Saari, Fitri Saari, Norsyafiq Sumantri yang harus memainkan peranan yang penting.

"Untuk pastikan pasukan negara perlu ada kombinasi diantara pemain junior dan senior mempunyai kombinasi yang baik." katanya.