Perlawanan persahabatan menentang New Zealand tidak akan menjadi pengukur kepada tahap kesedian Speedy Tigers menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang bakal bermula pada 4 hingga 11 mei ini.

Malah, menurut penolong jurulatih, Sukri Mutalib, perlawanan itu tertumpu kepada membina keserasian di antara pemain baru dan lama. Ini kerana, perlawanan tersebut umpama persiapan yang dibuat sebelum skuad hoki negara bergerak ke Ipoh untuk menilai kekuatan pemain secara berpasukan.

"Apa sahaja keputusan tidak menjadi tahap pengukur dan tanda aras untuk Piala Sultan Azlan Shah tetapi lebih kepada untuk mendapatkan keserasian dan kombinasi terbaik.

"Memandangkan masih lagi dalam proses membuat penilaian sebelum memilih 18 pemain akhir. Ini peluang untuk pemain menonjolkan bakat mereka.

Dalam pada itu, Sukri juga berkongsi ada kemungkinan untuk mengekalkan taktikal untuk diguna pakai ketika saingan sebenar menentang Pakistan sebagai perlawanan pembukaan nanti.

"Terlalu banyak rancangan akan membuatkan pemain keliru jadi kita akan ada dua atau tiga perlawanan persahabatan sahaja. Apa tektik yang kita rancang ketika berdepan New Zealand nanti mungkin kita akan bawa dalam kejohanan Piala SAS nanti." katanya kepada Nadi Arena.