MALAYSIA 3 NEW ZEALAND 2

Skuad hoki negara melangkah ke pusingan cross-over Piala Dunia Hoki FIH selaku naib juara Kumpulan C selepas menewaskan New Zealand 3-2 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar sebentar tadi.

Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu, Faizal Saari, meletakkan Malaysia di depan seawal minit ke sembilan tetapi The Speedy Tigers hanya dapat menggandakan kelebihan itu dalam suku ketiga, di mana Razie Rahim menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-43.

Sedar mereka tiada banyak masa untuk mengejar kedudukan, New Zealand menggunakan 'power-play' dalam suku terakhir dan berhasil memperoleh dua jaringan pantas bermula dengan jaringan padang Hayden Phillips pada minit ke-52 dan jaringan pukulan sudut penalti Sam Lane seminit kemudian.

Bagaimanapun, Faizal muncul wira skuad negara apabila kelicikannya dalam memperdayakan pertahanan lawan berhasil memberikan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-57.

Skuad negara dijangka akan bertemu Sepanyol selaku pasukan di kedudukan ketiga Kumpulan D dalam pusingan cross-over di venue sama hujung minggu ini.



Kredit foto: FIH/World Sports Pic