Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) diharap dapat melihat semula format Piala Dunia Hoki 2023 yang dianggap tidak adil terhadap skuad negara.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, percaya format edisi 2023 memberi kesan kepada kedudukan akhir pasukan negara di kejohanan itu biarpun memenangi beberapa perlawanan.

Menurutnya, KHM berharap FIH dapat memberi perhatian kepada isu itu bagi memastikan format lebih adil digunakan dalam penganjuran masa depan.

“Pada saya format kali ini tidak adil kerana sekiranya diikutkan, kami sepatutnya bermain untuk klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12.




“Bagaimana Afrika Selatan yang hanya menang sekali dan kami menang tiga perlawanan, namun mereka tamatkan saingan lebih tinggi daripada pasukan negara.

“Jika ikutkan secara logik kami akan tamatkan saingan lebih tinggi dari Afrika Selatan.

"Malah, ketika menentang Afrika Selatan, lawan mendapat rehat lebih lama, sebaliknya kami pula perlu bergerak ke venue yang lebih jauh dan ia menyebabkan pemain penat.

“Ini cuma pandangan saya sahaja, saya harap FIH dapat lihat semula format yang digunakan pada Piala Dunia kali ini untuk kejohanan yang akan datang," katanya hari ini.

The Malaysian Tigers kendalian Arul Selvaraj sebelum itu menamatkan saingan Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13 bersama Perancis selepas menewaskan Jepun 3-2.

Kredit: Sinar Harian