Kem hoki negara diseru tiada masa untuk bersedih menjelang pertemuan menentang Afrika Selatan pula, Khamis ini.

Ia selepas kegagalan The Speedy Tigers dalam menempatkan diri antara kelompok lapan terbaik dalam kempen Piala Dunia di Bhubaneswar, India.

Sedar antara kemampuan pasukan Afrika Selatan ialah bertahan dengan baik dan teratur, Arul sudah merangka pelan untuk menjerat lawan dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 itu.

"Suasana di kem negara positif walaupun kecewa selepas kekalahan kepada Sepanyol.

"Tapi apa yang penting pemain mampu bangkit dan kembali fokus kepada tangggungjawab selepas ini.

"Saya percaya pemain-pemain mampu melakukan yang terbaik," kata pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawani, di Nadi Arena sebentar tadi.




Kini fokus ketua jurulatih, Arul Selvaraj, lebih terarah kepada taktikal perlawanan.

Sekiranya pemain negara berhasrat merealisasikan impian menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik dunia, mereka harus menajamkan pukulan sudut penalti yang hanya menjadi ketika bertemu Sepanyol, iaitu hasil jaringan Razie Rahim.

"Arul dan barisan kejurulatihan lebih memfokuskan kepada (aspek) teknikal dan taktikal ketika berdepan Afrika Selatan," katanya lagi.