Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D.Shariman Bin Dato' Zaharudin, mencadangkan untuk melaraskan penggunaan peranti penjejak pintar buat semua atlet para negara semasa temasya sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada penghujung bulan Ogos nanti.

Penggunaan peranti penjejak pintar itu merupakan salah satu inisiatif daripada langkah berjaga-jaga khususnya melibatkan mana-mana atlet yang telah menamatkan acara mereka dengan lebih awal.

Begitupun, usul tersebut masih di peringkat awal dan dalam perbincangan pihak dalaman justeru dia akan membawa usul tersebut juga dalam mesyuarat yang akan diadakan di Paris pada bulan Jun depan.

"Jika acara atlet tamat awal mereka akan mempunyai baki hari untuk tinggal di Paris dan kemungkinan mereka akan keluar dan peranti ini adalah untuk menjaga keselamatan mereka.

"Kami mempunyai penaja dan akan memberikan peranti penjejak pintar itu kepada atlet dan barisan staf serta pegawai untuk mengetahui lokasi semasa mereka.

"Bagi kontinjen Malaysia kita akan ambil langkah bersesuaian dalam menjaga semua atlet. Kami mahu mereka pergi ke stadium dan pulang semula ke perkampungan atlet dengan selamat." katanya.