Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) akan mengadakan latihan pusat di Indonesia sebagai sebahagian persiapan untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Perak tahun depan.

Menurut Presiden PBBABT, Mohd Shafaruddin Mustaffa, untuk permulaan seramai 16 atlet berpotensi akan berlepas ke Balikpapan dan Kalimantan penghujung tahun ini.

Katanya, kemudahan fasiliti serta kewibawaan jurulatih negara jiran itu menjadi faktor pemilihan destinasi latihan mereka.

“Kami berhasrat menjadikan sukan angkat berat sebagai lubuk emas untuk kontinjen Terengganu dalam Sukma 2018 di Perak.

“Sesi latihan ini dijangka berjalan mengikut dua fasa, iaitu pada penghujung tahun ini, seterusnya beberapa bulan sebelum temasya bermula,” katanya.

PBBABT turut mengesahkan akan mengambil bahagian dalam semua lapan kategori yang dipertandingkan melibatkan 32 atlet dengan sasaran mempertahankan tiga pingat emas dalam Sukma tahun lalu.

Seramai 58 atlet kini menjalani latihan dengan 34 ditempatkan di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), 15 atlet di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengabang Telipot serta sembilan atlet di SMK Tengku Ampuan Intan.