'Tanpa beliau, saya mungkin tidak berjaya berada di tahap ini', itu kata-kata pemain perseorangan para negara, Cheah Liek Hou, selepas berjaya menggenggam kejayaan meraih pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Liek Hou, yang juga merupakan juara dunia enam kali, menepati ramalan apabila menjadi pemenang pertama pingat emas negara menerusi badminton selepas mengatasi wakil Indonesia, Dheva Anrimushti, dalam final Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam.

Pemain yang di bawah kendalian Datuk Rashid Sidek itu menampilkan persembahan penuh bergaya sejak permulaan saingan bermula di peringkat kumpulan sehinggalah menoktahkan kemenangan dalam aksi final.

"Saya berasakan pencapaian ini cukup istimewa kerana berjaya mencipta sejarah meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik bagi acara badminton," kata Liek Hou.

"Tanpa jurulatih saya (Rashid), saya tidak mungkin dapat mencapai tahap ini sebagai pemain badminton," kata Liek Hou.

Rashid turut berkongsikan pengalamannya ketika ditemubual oleh wartawan Astro Arena, Shahrazad sani dan berkata, "Ketika bergelar pemain saya berjaya meraih pingat gangsa dan kini bergelar sebagai jurulatih, saya berjaya melahirkan seorang pemenang pingat emas Sukan Paralimpik. Ia merupakan sesuatu yang amat membanggakan bagi saya.

25 tahun yang lalu, Rashid menyumbangkan pingat pertama negara Sukan Olimpik dalam perseorangan badminton menerusi pingat gangsa dan semalam, pemain kendaliannya, Cheah Liek Hou memahat sejarah baru apabila menjadi individu pertama memenangi pingat emas di pentas Paralimpik.