Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, akan mendapatkan sentuhan pemain muda dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula bulan depan untuk menggantikan beberapa tonggak senior menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik tahun depan.

Kegagalan mencapai sasaran pusingan kedua Piala Dunia 2018 mendedahkan beberapa kelemahan Malaysia tatkala mereka jelas tidak boleh banyak bergantung kepada pemain senior yang sama untuk menghadapi jadual padat.

Ia menyebabkan pemain kepenatan selain mengehadkan pilihan buat jurulatih.

"Liga Hoki Malaysia yang akan bermula bakal menjadi medan buat pemain-pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan bagi membarisi skuad kebangsaan.

"Setiap pemain akan berpeluang jika mereka layak. Saya juga akan menggunakan khidmat pemain muda," kata Oltmans.

Malaysia menduduki tangga tercorot Kumpulan D, Piala Dunia di Bhubaneswar, India selepas tewas 3-5 kepada Jerman dalam aksi terakhir peringkat kumpulan semalam.

Tiga jaringan dihasilkan oleh Muhammad Razie Abd Rahim yang dua kali menemui sasaran serta satu gol sumbangan Nabil Fiqri Mohd Noor.

Malaysia berkongsi satu mata dengan Pakistan, namun juara dunia empat kali itu mara hasil kelebihan jaringan.

"Kalau format kejohanan dijalankan seperti dalam edisi sebelum ini, mungkin kami boleh meraih lebih banyak mata. Namun, saya berpuas hati walaupun terkandas di peringkat kumpulan," kata kapten kebangsaan, Sukri Mutalib.

"Saya telah mempamerkan yang terbaik, mendapatkan pukulan sudut penalti tetapi jelas kami berdepan pasukan terbaik dunia, jadi kini kami tahu di mana tahap kami," tambah penyerang negara, Faizal Saari.

"Malaysia beraksi lebih baik sambil kami tidak bermain di tahap sebenar. Jika anda tidak tampil dengan persembahan terbaik, apa sahaja boleh berlaku. Lihat sahaja apa terjadi kepada Argentina yang tewas di tangan Perancis," ujar kapten Jerman, Martin Haner.

"Ia satu aksi sukar kerana Malaysia menjalankan tugas di atas padang dengan baik sehingga wisel penamat. Kami lega dapat meraih kemenangan," tambah rakan sepasukan Haner, Lucas Windfeder.