Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, gembira Malaysia makin matang dalam menyerap tekanan selepas menewaskan Jepun 4-3 dalam aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak, malam tadi untuk kekal di takhta saingan liga sepusingan itu.

Corak bertahan barisan pemainnya selepas rehat seolah-olah ulangan final Sukan Asia 2018.

Namun, kali ini The Malaysian Hockey Tigers lebih tenang menghalang serangan bertali-arus Jepun yang diketuai Kazuma Murata.

Pujian juga buat penjaga gol, Mohd Hairi Abd Rahman, yang banyak menafikan serangan pemenang pingat emas Sukan Asia itu untuk mengesahkan kemenangan kedua di Stadium Azlan Shah.

"Kami tidak lagi berasa gugup sebaik melepaskan gol.

"Pemain tetap memberikan saingan untuk mengekalkan kedudukan 4-3 dan ia sesuatu (perubahan) yang bagus.

"Apapun, kami masih dalam proses untuk memperbaiki persembahan," kata Oltmans.

Pujian buat penyerang, Faizal Saari, yang meledak dua gol untuknya mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Dua lagi gol negara dijaringkan penyerang, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, dan pemain tengah, Fitri Saari, sementara gol Jepun disumbangkan Murata, Kota Watanabe dan Koji Yamasaki.

"Kami tidak cukup fokus dan semangat kami tidak cukup bagus.

"Malaysia begitu bersemangat dan dalam separuh masa pertama, kami mengecewakan diri sendiri," ujar jurulatih Jepun, Siegfried Aikman.