Hasrat pelari pecut sensasi wanita negara, Nur Afrina Batrisyia Rizal, untuk mengikut jejak Azeem Fahmi berkelana ke Amerika Syarikat (AS) kelihatan tidak kesampaian.

Difahamkan, faktor kehidupan seharian di negara Uncle Sam itu menjadi antara faktor utama dia terpaksa menolak tawaran menyambung pelajaran di Universiti Auburn.

Pemenang pingat gangsa acara 4x100m Sukan Asia Hangzhou itu sudah bertukar pendapat dengan Azeem dan jalan terbaiknya ketika ini adalah untuk kekal berlatih di Malaysia.

"Semua orang ada impian untuk pergi ke tempat Azeem itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Untuk menjadi seperti Azeem juga impian setiap orang dalam kalangan atlet olahraga ini.

"Pada saya, kalau ada rezeki, Insya Allah saya akan pergi tetapi perlu lihat dahulu.

"Tawaran yang diberikan ini memang besar untuk saya bawa kerana pergi ke sana, tiada siapa yang saya kenal dan untuk bercampur juga agak susah kerana saya perlu membawa diri," katanya.