Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, mengekalkan Jersi Merah selaku pelumba terbaik Malaysia pada peringkat terakhir Jelajah Malaysia 2016 yang berakhir di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Perlumbaan sejauh 184.4km dari Kemaman itu menyaksikan Nik Mohd Azwan diberikan cabaran sengit pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin, yang juga penyandang gelaran itu musim lalu.

“Peringkat terakhir ini boleh dikatakan satu perlumbaan yang sengit kerana saingan yang begitu mencabar pada 60km pertama.

“Selepas jarak itu baru ada pecahan kelompok pelumba dan kelompok hadapan itu mula mendahului perlumbaan.

“Amirul juga berada dalam kelompok hadapan dan saya mengikuti kayuhannya kerana dia memberi cabaran hebat sejak dari awal perlumbaan.

“Ketika menghampiri 60km perlumbaan, terdapat empat pelumba yang mengetuai kelompok hadapan sebelum seorang pelumba tercicir dan tinggal tiga pelumba sehingga garisan penamat.

“Alhamdulillah saya dapat mengekalkan Jersi Merah ini dari peringkat keempat semalam dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu serta bekerja keras pada perlumbaan hari ini.

“Kini fokus saya bersama pasukan negara menghadapi Jelajah Indonesia dan Jelajah Shanghai pada November sebelum kembali ke tanah air,” katanya lagi.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba KSPO, Sung Baek Park, sekaligus merampas Jersi Biru yang dimenangi pelumba TSG, Mohd Hariff Salleh, pada peringkat ketiga dan keempat yang hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa tiga jam 14 minit 37 saat.

Pasukan dari Iran, Pishgaman Cycling Team, terus cemerlang selepas menggondol tiga kategori pada pusingan terakhir ini apabila dijulang sebagai pasukan terbaik keseluruhan, pelumba individu terbaik (Arvin Moazami Godarzi) dan Raja Bukit (Amir Kolahdouz Hagh).