Pemilik pasukan Milwaukee Bucks menyokong tindakan pemain mereka memboikot perlawanan menentang Orlando Magic dalam playoff NBA.

Kesemua tiga perlawanan playoff NBA awal pagi tadi terpaksa ditunda gara-gara protes susulan insiden penembakan Jacob Blake di Amerika Syarikat.

Keputusan itu diambil selepas Bucks memilih untuk memboikot perlawanan kelima pusingan pertama menentang Magic dalam siri playoff berkenaan.

Pemilik Bucks, Marc Lasry, Wes Edens dan Jamie Dinan, menyokong tindakan pemain mereka walaupun tidak menyedari perancangan berkenaan.

"Kami menyokong sepenuhnya pemain kami dan keputusan yang dilakukan mereka," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

"Walaupun kami tidak mengetahuinya lebih awal, kami dengan sepenuh hati bersetuju dengan mereka.

"Cara terbaik untuk melakukan perubahan adalah dengan memberikan sinar kepada ketidakadilan perkauman yang berlaku di depan kita.

"Pemain kami telah melakukannya dan kami akan terus berdiri bersama mereka dan menuntut sikap bertanggungjawab dan perubahan," katanya.

Bucks memiliki kelebihan 3-1 ke atas Orlando dalam siri berkenaan tetapi saingan musim ini dilaporkan dalam bahaya selepas pemain menuntut perubahan dengan melakukan protes sebagai tanda bantahan tindakan ganas pihak polis dan ketidakadilan perkauman di negara itu.