Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memiliki perancangan untuk menghidupkan semula program Rakan Sukan bagi mengelak isu lewat membayar ganjaran atlet dan jurulatih seperti dialami bekas pengendali terjun negara, Yang Zhuliang.

Program Rakan Sukan yang dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1994 berjaya membantu pembangunan sukan negara.

Ia memudahkan MSN fokus terhadap aspek pengurusan, terutama memastikan setiap keperluan atlet dan jurulatih terjamin.

Situasi ini akan mengurangkan isu kelewatan membayar imbuhan seperti dialami Zhuliang.

"Kelewatan tersebut adalah kerana sumber peruntukan yang agak terhad pada tahun lalu. Ia ekoran penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.

"Pengurusan MSN akan terus mencari dana penajaaan, khususnya daripada pihak swasta, yang turut mahu bersama membantu kerajaan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka," kata Shapawi.

Zhuliang menyuarakan rasa tidak puas hati apabila lewat menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas membantu penerjun negara meraih satu emas dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia, tahun lalu. Beliau sepatutnya menerima RM20,000.

Pengendali kelahiran China ini ditamatkan kontrak tahun lalu selepas didakwa membenarkan suasana ketakutan dalam kem kebangsaan selepas bekas penolong jurulatih, Huang Qiang, dituduh melakukan jenayah seksual ke atas seorang penerjun wanita negara.